5 Mac 2021, Jumaat – Jabatan Perdagangan telah menganjurkan Majlis Bersama Jabatan dengan tema “Students Meet Lecturers”. Program ini diadakan khas bagi meraikan pelajar baharu yang menjadi warga JP bermula sesi Disember 2020.  Majlis yang diadakan secara maya ini bermula pada jam 9.15 pagi melalui platform Ms Teams. Ianya dihadiri oleh semua pensyarah JP dan pelajar Semester 1 yang telah mendaftar pada 2 Mac 2021 yang lalu di Politeknik Melaka. Sesi kali ini terdiri daripada 38 orang pelajar untuk program Diploma Akauntansi (DAT) dan 20 orang pelajar untuk program Diploma Perniagaan Antarabangsa (DPI).

Majlis Bersama Jabatan ini dimulakan dengan kata-kata aluan daripada Pengacara Majlis iaitu Pn. Zaihasra binti Rukiman dan bacaan doa oleh wakil pelajar semester 1.  Seterusnya Ketua Jabatan Perdagangan, Pn. Zaihan binti Haron menyampaikan amanat dan mengalu-alukan kedatangan anak didik baharu ke Jabatan Perdagangan. Bagi mencapai objektif program, setiap pensyarah JP telah memperkenalkan diri masing-masing dan memberi ucapan ringkas bagi memupuk hubungan mesra dengan para pelajar. Usai agenda tersebut, majlis diteruskan dengan sesi bersama Penyelaras Penasihatan Akademik yang memberi taklimat untuk panduan para pelajar.

Semoga MAJLIS BERSAMA JABATAN – “STUDENTS MEET LECTURERS” ini menjadi titik tolak kepada jalinan mesra antara pensyarah dan pelajar supaya matlamat untuk menuntut ilmu dan pulang dengan kejayaan cemerlang itu dipermudahkan dan menjadi satu realiti. JPRIAN MENGGAPAI BINTANG.....itulah harapan semua warga JP.